Kolej Vokasional Penuhi Tuntutan Tenaga Mahir

ZAINUREN MOHD. NOR berbual dengan pelajar Kolej Vokasional Sungai Petani 1, Nurul Fatin Atikah Mohd. Zuljabar (tiga dari kiri) dan Siti Sarah Mohd. Samsuri (kanan) serta pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, Siti Nur Syamiza Azur Ahmad ketika ditemui di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Roszida Othman (dua dari kiri) dan Che Noorliati Said (dua dari kanan).

 

PUTRAJAYA 19 Jun – Sejak  program vokasional diberi nafas baharu melalui Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) pada tahun 2012, tanggapan negatif sesetengah pihak kononnya aliran tersebut tidak mempunyai masa depan yang cerah telah berjaya ditangani.

Menerusi projek rintis dengan mewujudkan sebanyak 15 buah Kolej Vokasional di setiap negeri, ali­ran pendidikan vokasional semakin diterima ramai dan telah diangkat sama tahap dengan aliran perdana.
Lebih membanggakan, pelajar-pelajar kolej tersebut bukan sahaja memperoleh tahap kemahiran yang tinggi malah, berjaya menarik minat pihak industri selepas berjaya menamatkan latihan industri me­lalui latihan bekerja dalam industri atau on the job training (OJT).
Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan, Zainuren Mohd. Nor, langkah itu sekali gus memberi impak dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang diperlukan industri di negara ini. Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila 30 peratus daripada 2,608 orang pelajar dari 15 buah Kolej Vokasional rintis sudah ditawarkan pekerjaan dalam industri walaupun belum menerima Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang dijangka diterima dalam majlis konvokesyen bulan Ogos ini.
“Pelaksanaan OJT ini semasa empat bulan terakhir merupakan syarat wajib bagi pelajar diploma berkenaan untuk memberi peluang kepada mereka meningkatkan lagi kemahiran sekali gus, merasa sendiri pengalaman berada di alam pe­kerjaan.
“Menerusi OJT ini, penilaian dibuat bagi melihat kompetensi pelajar sama ada mereka memenuhi kehendak pihak industri atau sebaliknya dan bagi mereka yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan manakala yang tahap kompetensi masih kurang akan terus membuat latihan industri walaupun sudah tamat OJT,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengambil contoh kejayaan pelajar rintis di Kolej Vokasional Su­ngai Petani 1 (KVSP1) yang berjaya ditawarkan pekerjaan oleh industri, katanya, sebanyak 45 daripada 64 orang pelajar kolej tersebut yang mengambil program Diploma Tek­nologi Kimpalan telah berjaya ditawarkan pekerjaan biar pun masih belum tamat pengajian.
“Ini menunjukkan produk daripada Kolej Vokasional mampu me­lahirkan tenaga kerja mahir atau separuh mahir bagi keperluan industri di luar sana.
“Sasaran kita ialah sebanyak 80 peratus pelajar-pelajar ini dapat memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian manakala bakinya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau menceburi bidang keusahawanan,” kata­nya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Latihan Pendidikan Vokasional (VETA), Roszida Othman berkata, sebagai Institut Kemahiran Swasta di bawah sistem pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, akademi itu bertanggungjawab menjalankan latihan kemahiran beserta pensijilan profesional dalam bidang berkaitan.

 

Jelasnya, pelbagai latihan kemahiran disediakan VETA membabitkan kimpalan, automotif, pemesinan dan keselamatan kerana bidang berkenaan mendapat permintaan tinggi dalam industri. “Kerjasama VETA dan BPTV menyaksikan akademi ini berpe­ranan sebagai rakan industri di mana pelajar DVM Kolej Vokasional dalam bidang kimpalan menjalani program peningkatan kemahiran persijilan profesional Lloyd’s Re­gister yang memenuhi spesifikasi industri minyak dan gas.
“Lloyd’s Register merupakan sebuah badan profesional yang menentukan tahap kompetensi seseorang jurukimpal mengikut spe­sifikasi kelayakan, mereka yang mempunyai sijil ini seterusnya menjadikan mereka mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dan mudah untuk menembusi industri profesionalisme yang diperlukan,” katanya. Sementara itu, Pengarah KVSP1, Che Noorliati Said berbesar hati apabila kolejnya dipilih sebagai salah sebuah daripada 15 buah Kolej Vokasional rintis untuk terlibat dalam program transformasi itu.
Pada awalnya, beliau berkata, kolej tersebut hanya menawarkan dua program mekanikal sahaja iaitu  Teknologi Kimpalan dan Pemesinan Industri sebelum menambah dua lagi program iaitu Sistem Pengurusan Data dan Aplikasi Web serta Sistem Komputer Rangkaian.
“Pelajar tersebut akan dilatih selama empat tahun dan empat bulan dengan mengikuti Kurikulum Standard Kolej Vokasional. Misalnya bagi program kimpalan pelajar perlu menjalani tempoh pengajian selama dua tahun yang mana mereka akan didedahkan mengenai pengenalan teknologi kimpalan serta amalan tatacara keselamatan, persekitaran dan kesihatan.
“Seterusnya, mereka akan dilatih kemahiran masing-masing iaitu teknik memotong dan mencanai serta pendedahan pelbagai lagi perkara berkaitan bidang kimpalan ini,” katanya.
Katanya, menerusi program yang diajarkan itu pelajar-pelajarnya bukan sekadar didedahkan dengan ilmu kemahiran malah, turut diajar dengan mata pelajaran teras lain bagi mendapatkan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) iaitu setara dengan tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelasnya lagi, pelajar lulusan SVM yang layak akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke DVM di Kolej Vokasional serta boleh memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hingga ke tahap tertinggi ia­itu pada Tahap 4.
“Sekarang program ini sudah memasuki tahun kelima dan pelajar yang terlibat dalam program rintis hampir tamat DVM dan menunggu hari konvokesyen sahaja.
“Perkara yang sangat membanggakan saya sebagai guru ialah apabila anak-anak murid ini bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian masing-masing tetapi juga telah berjaya diterima bekerja de­ngan pihak industri dan menerima gaji yang agak lumayan iaitu antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.